Membaca Jambatan Ilmu

Sabtu, 12 November 2011

BM 2 > Contoh Karangan Surat Tidak Rasmi

Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

                                                                                                                  No.293, Rimba Panjang,
                                                                                                                  31100 Sungai Siput (U),
                                                                                                                  Perak Darul Ridzuan.

                                                                                                                  6 November 2011

               Menemui sahabatku Yee Ling yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

               Apa khabar saudari sekarang? Bagaimana persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat adalah dengan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Saya belajar dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

              Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika saya tidak faham akan sesuatu pelajaran semasa belajar di kelas, saya akan segera bertanya guru supaya saya dapat mengikuti pelajaran itu sebaik mungkin.

              Ibu bapa saya pula menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

               Di samping itu, saya juga pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh sekiranya kelapangan masa pada hujung minggu. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar untuk difahami. Selain itu, kami juga sering bertukar-tukar nota antara satu sama lain.

              Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah menengah yang terpilih.

              Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

                                                                                                                            Sahabatmu,

                                                                                                                            ...................................
                                                                                                                            (Lee Pik Yin )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan