Membaca Jambatan Ilmu

Ahad, 27 November 2011

BM 2 > Cara Menjawab Bahagian C(Puisi)

Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

Isi Cadangan:

- Membelai penuh manja (Kasih sayang)
- Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
- Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
- Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
- Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
- Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)


Jawapan Contoh 2:

Berdasarkan puisi di atas, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh amalkan. Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Sememangnya ibu bapa kita ialah orang yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kesimpulannya, untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan