Membaca Jambatan Ilmu

Selasa, 29 November 2011

BM 2 > Bahagian A (Bina 5 Ayat)

BM UPSR Kertas 2 - Bahagian A ( 5 Ayat )


Membina 5 ayat berdasarkan gambar.

1. Ahmad tekun membaca buku sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR.

2. Semasa peperiksaan, Ahmad dapat menjawab setiap soalan di dalam kertas peperiksaan dengan penuh keyakinan.

3. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, Ahmad mendapat keputusan yang cemerlang.

4. Ahmad berasa gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana usaha yang bersungguh-sungguh menghasilkan kejayaan.

5. Ahmad mendapat hadiah sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran pada Hari Penyampaian Hadiah.

Isnin, 28 November 2011

BM 1 > Kata Bilangan

1. MAKSUD :
Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan jumlah.

2. JENIS KATA BILANGAN :

i. Kata bilangan tentu : Kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tepat
Contoh: satu, dua, seratus, sejuta, tiga puluh tiga dan sebagainya.

ii. Kata bilangan tak tentu : Menunjukkan bilangan yang tidak pasti
Contoh: semua, banyak, ramai, pelbagai, berbagai-bagai, sekumpulan, sekawan dan lain-lain.

iii. Kata bilangan pisahan: Kata bilangan yang menunjukkan sifat dipisahkan
Contoh: berdua-dua, ketiga-tiga, masing-masing, tiap-tiap

iv. Kata bilangan tingkat : Menunjukkan maksud tempat
Contoh: pertama, kedua, ketiga, keempat dan sebagainya.

v. Kata bilangan pecahan :
Contoh: suku, separuh, tiga suku, dua per tiga dan sebagainya.

3. KONSEP KATA BILANGAN :

i. Kata bilangan jamak: Menunjukkan maksud lebih daripada satu
Contoh: semua, beberapa, kebanyakan, pelbagai, berhari-hari dan sebagainya.

ii. Kata bilangan tunggal : Menunjukkan maksud bilangan tunggal atau satu
Contoh: satu, se

4. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA BILANGAN :

a. Ada kata bilangan yang tidak boleh digandakan. (salah jika digandakan)
Salah:
-pelbagai-pelbagai hadiah diberi.
-para-para pelajar yang hadir,
Betul:
-pelbagai hadiah diberi.
-berbagai-bagai hadiah diberi.
-para pelajar yang hadir

b. Ada kata bilangan yang tidak boleh disingkatkan/ ditunggalkan.
Salah:
-Dia ke sekolah pada tiap pagi.
-Berbagai cabaran telah ditempuh.
Betul:
-Dia ke sekolah pada tiap-tiap pagi.
-Dia ke sekolah pada setiap pagi.
-Berbagai-bagai cabaran telah ditempuh.
-Pelbagai cabaran telah ditempuh.

c. Kata bilangan berimbuhan ‘ber….’ Mesti digandakan.
Salah:
-Lori itu membawa berguni beras ke kilang.
-Sudah bertahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan air sejuk.
Betul:
-Lori itu membawa berguni-guni beras ke kilang.
-Sudah bertahun-tahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan-cawan air sejuk.

d. Jika kata bilangan sudah jamak, kata nama yang mengikutinya tidak boleh digandakan.
Salah:
-Banyak buku-buku yang disediakan di perpustakaan.
-Sekawan burung-burung hinggap di atas pokok.
-Beberapa ekor ikan-ikan berjaya dipancing.
Betul:
-Banyak buku yang disediakan di perpustakaan.
-Sekawan burung hinggap di atas pokok.
-Beberapa ekor ikan berjaya dipancing.

e. Jika kata bilangan berakhiran dengan ‘…….an’, kata nama juga tidak boleh digandakan.
Salah:
-Barisan pelakon-pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-Sinaran bintang-bintang kelihatan di dada langit.
-Puluhan peserta-peserta mengambil bahagian pada malam ini.
Betul:
-Barisan pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-Sinaran bintang kelihatan di dada langit.
-Puluhan peserta mengambil bahagian pada malam ini.

f. ‘Kata bilangan jamak’, tidak boleh disertai dengan ‘penjodoh bilangan’.
(kecuali : beberapa dan kata bilangan tentu seperti tiga, empat, lima dan sebagainya)
Salah:
-Semua ekor ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-Kebanyakan orang pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.
Betul:
-Semua ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-Kebanyakan pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.

g. Jika kata bilangan jamak digunakan, kata adjektif bagi kata nama tidak boleh digandakan.
Salah:
-Banyak ikan yang besar-besar di kawasan hulu sungai itu.
-Semua pegawai di situ garang-garang dan sukar untuk ditemui.
Betul:
-Banyak ikan yang besar di kawasan hulu sungai itu.
-Semua pegawai di situ garang dan sukar untuk ditemui.

h. Kata bilangan jamak boleh digunakan untuk kata nama yang memang berganda.
Salah:
-Di kawasan sungai itu banyak kura.
-Ramai mata bertugas di tempat ini.
Betul:
-Di kawasan sungai itu banyak kura-kura.
-Ramai mata-mata bertugas di tempat ini.

i. Kata bilangan berimbuhan ‘ke….’ yang menunjukkan jumlah mestilah digandakan.
Salah:
-Polis berjaya membarkas kelima perompak itu.
-Kedua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.
Betul:
-Polis berjaya membarkas kelima-lima perompak itu.
-Kedua-dua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.

j. ‘Kata bilangan tentu’ (satu, dua, dan sebagainya) tidak boleh rapat dengan ‘kata bilangan pecahan’. (letak objek di antara kata bilangan ini)
Salah:
-Kami mengambil masa dua setengah hari untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh tiga suku jam untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan satu suku sudu garam ke dalam masakan itu.
Betul:
-Kami mengambil masa dua hari setengah untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh tiga jam suku untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan satu sudu suku garam ke dalam masakan itu.

Ahad, 27 November 2011

BM 2 > Cara Menjawab Bahagian C(Puisi)

Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

Isi Cadangan:

- Membelai penuh manja (Kasih sayang)
- Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
- Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
- Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
- Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
- Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)


Jawapan Contoh 2:

Berdasarkan puisi di atas, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh amalkan. Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Sememangnya ibu bapa kita ialah orang yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kesimpulannya, untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati mereka.

Jumaat, 25 November 2011

BM 2 > Cara Menjawab Bahagian C(Petikan)

Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.

Isi-isi cadangan:

- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan
kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga
untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat
restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu
kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.


Jawapan Contoh 1:

Berdasarkan petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita.

Khamis, 24 November 2011

BM 1 > Ayat Pasif


Definisi
Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek asal (iaitu objek dalam ayat aktif) sebagai perkara atau unsur yang diterangkan, manakala subjek asalnya tidak diutamakan. Contohnya:
i. Naib Yang Dipertua PIBG menyampaikan anugerah itu. (Ayat Aktif)
(subjek)+ (kata kerja transitif) +(objek)
ii.Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG. (Ayat Pasif)
(subjek)+ (kata kerja pasif) +(pelaku)

Jenis ayat pasif
1. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’di’ dan ’ter’
Contohnya:
a). Hadiah pertandingan itu sudah dituntut oleh pemenangnya semalam.
b). Peralatan sistem suara itu tidak terangkat oleh mereka.

2. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’ber’ dan ’ke...-an’.
a). Dalam perjalanan pulang mereka kehujanan.
b). Ketika mereka tiba juadah itu sudah bertutup.
c). E-mel yang saya kirim belum berjawab lagi.

3. Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Orang Pertama dan Kedua
Contoh
a). Laporan peristiwa itu sudah saya siapkan semalam.
b). Tugasan itu harus awak laksanakan dengan segera.
c). Masalah itu wajar kita hadapi bersama-sama.
Kesimpulannya, kita hendaklah dapat membezakan struktur ayat pasif dengan ayat aktif supaya kita dapat membina ayat yang gramatis dan tidak dianggap sebgai pengguna bahasa yag pasif.

Rabu, 23 November 2011

BM 2 > Tafsiran Nilai Murni

BAIK HATI
- Belas kasihan (Bersimpati terhadap kesesusahan orang lain)
- Bertimbang rasa (Mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain apabila
membuat sesuatu tindakan)
- Murah hati (Memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang
memerlukannya)
- Saling memahami (Sanggup memberi dan menerima pandangan serta
memahami perasaan dan keperluan masing-masing)
- Saling bermaafan (Sanggup meminta maaf dan memberi kemaafan)

BERDIKARI
- Berupaya bertindak sendiri (Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa
mengharapkan orang lain)
- Yakin pada diri sendiri (Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup
mencuba)

HEMAH TINGGI
- Kesopanan (Berbudi bahasa dan beradab dalam pergaulan)
- Mengakui kesalahan sendiri (Sedia mengaku kesilapan diri sendiri serta
sanggup menerima nasihat)
- Ramah mesra (Sedia bergaul mesra dengan semua orang)

HORMAT-MENGHORMATI
- Ibu bapa (Memuliakan dan mentaati ibu bapa)
- Ahli keluarga, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
(menunjukkan rasa hormat kepada kumpulan tersebut dengan memberi
layanan yang baik)
- Institusi kerajaan dan Negara (Menerima dan hormat kepada kerajaan
serta lambang-lambang kebesaran negeri)
- Kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan (Menghormati
kepercayaan dan adat resam semua keturunan di Malaysia)
- Patuh kepada undang-undang negara (Mematuhi undang-undang yang telah
ditentukan tanpa mengira di mana seseorang itu berada)
- Patuh kepada ketepatan masa (Menepati waktu dan menggunakan masa
dengan berfaedah)

KASIH SAYANG
- Sayang diri sendiri dan orang lain (Menyayangi diri sendiri dan orang lain)
- Sayang akan alam sekitar (Memelihara dan memulihara kehidupan flora dan
fauna untuk kesejahteraan hidup)

KEADILAN
- Adil (Membuat pertimbangan secara objektif, menyeluruh dan bersesuaian)
- Saksama (Tidak berat sebelah dalam sesuatu tindakan dan keputusan sama
ada dalam memberikan ganjaran atau hukuman)

KEBEBASAN
- Boleh melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar batas peraturan dan
undang-undang yang tersurat dan tersirat dalam keluarga, sekolah, komuniti,
masyarakat, negara dan agama

KEBERANIAN
- Berani mencuba (Berani melakukan sesuartu perkara yang baru dan
mencabar untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain dengan mengambil risiko
yang akan dihadapi)
- Berani kerana benar (Berani mempertahankan sesuatu yang diakui
sebenarannya dengan menunjukkan bukti yang nyata)

KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL
- Kebersihan diri (Kebersihan anggota yang perlu dijaga oleh setiap individu
untuk hidup sihat)
- Kebersihan persekitaran (Pemeliharaan alam sekeliling supaya rapi dan
bebas daripada kekotoran dan pencemaran)
- Kebersihan mental (Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu
diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain)

KEJUJURAN
- Amanah (Bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan
dan dapat menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain)
- Bercakap benar (Menyatakan perkara yang benar tanpa menokok tambah
atau berselindung)
- Ikhlas (Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan)

KERAJINAN
- Daya usaha (Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan
inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.)
- Dedikasi (Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga untuk perkara
yang berfaedah)

KERJASAMA
- Gotong-royong (Melakukan sesuatu tugas secara beramai-ramai dan
sukarela)
- Toleransi (Bertolak ansur serta dapat mengawal diri untuk mengelakkan
berlakunya perselisihan)
- Perpaduan (Bersefahaman dan bekerjasama di peringkat keluarga,
masyarakat, negara dan antarabangsa)

KESEDERHANAAN
- Pertuturan dan perlakuan yang sederhana (Bertutur dan berkelakuan yang
tidak melampaui batas serta menyinggung perasaan atau menimbulkan
kemarahan orang lain)
- Kesederhanaan dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan
orang lain (Membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya Memuaskan diri
sendiri dan orang lain)

KESYUKURAN
- Berterima kasih (Melahirkan perasaan untuk menunjukkan pengiktirafan dan
penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian)

PATRIOTISME
- Semangat cintakan negara (Mempunyai semangat yang tinggi untuk menjaga
keselamatan, nama baik negara)

RASIONAL
- Membuat pertimbangan (Berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu
perkara sebelum membuat keputusan)

SEMANGAT BERMASYARAKAT
- Bermuafakat (Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu
pekerjaan bagi kepentingan bersama)
- Kejiranan (Berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong, dan bekerjasama
dengan jiran tetangga)
- Peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat (Menyedari masalah
masyarakat dan sedia berusaha menyelesaikannya)