Membaca Jambatan Ilmu

Rabu, 30 November 2011

BM 1 > Kesalahan Ejaan

Berikut ialah senarai kesalahan ejaan yang biasanya muncul dalam karangan. Kenapa?

SALAH --- BETUL
1. displin - disiplin
2. Tsunami - tsunami
3. menanangi - menangani
4. menggelakan - mengelakkan
5. berbillion-billion - berbilion-bilion
6. dasyat - dahsyat
7. kerosakkan - kerosakan
8. pertempatan - petempatan
9. sampah-sarap - sampah sarap
10. mengembirakan - menggembirakan
11. menyerdari profession - menyedari profesion
12. perkerjaaan - pekerjaan
13. efisyen - efisien
14. mengalakkan - menggalakkan
15. seringkali - sering kali
16. acapkali - acap kali
17. berjogging - berjoging
18. apartment - apartmen
19. treauma - trauma
20. kementrian - kementerian
21. negative - negatif
22. memperdulikan - mempedulikan
23.mempedayakan - memperdayakan
24. kesimpulanya - kesimpulannya
25. prodaktiviti - produktiviti
26. mengganggap - menganggap
27. pengganguran - pengangguran
28. walaubagaimanapun - walau bagaimanapun
29. bersopan-santun - bersopan santun
30. lalu-lintas - lalu lintas
31. pra-kemerdekaan - prakemerdekaan
32. anti kerajaan - antikerajaan
33. terhantuk baru terngadah - tengadah
34. kasih-sayang - kasih sayang
35. mengembleng - menggembleng
36. anti-merokok - antimerokok
37. keseronokkan - keseronokan
38. kes rompakkan - kes rompakan
39. pengawai polis - pegawai polis
40. saki baki - saki-baki
41. sanak-saudara - sanak saudara
42. yatim-piatu - yatim piatu
43. pekara- perkara
44. pengakutan - pengangkutan
45. menangguh di air keruh - menangguk air keruh
46. rumah-tangga - rumah tangga
47. kecermerlangan - kecemerlangan
48. jalanraya - jalan raya
49. lebuhraya - lebuh raya
50. pasaraya - pasar raya
51. bandaraya - bandar raya
52. dimana - di mana
53. bekeluarga - berkeluarga
54. fail beserta pen - fail berserta pen
55. gambarajah - gambar rajah
56. menyalah gunakan - menyalahgunakan
57. penguatkuasa- penguat kuasa
58. khursus - kursus
59. ketidak stabilan - ketidakstabilan
60. setia usaha - setiausaha
61. urusetia majlis - urus setia majlis
62. mengulangkaji pelajaran - mengulang kaji pelajaran
63. motorbot - motobot
65. bidang akedemik - bidang akademik
66. kebanyakkan - kebanyakan
67. berkerjasama - bekerjasama
68. kadang-kala- kadangkala
69. penyalah gunaan - penyalahgunaan
70. Disamping itu - Di samping itu
71. kerosakkan - kerosakan
72. anti-merokok - antimerokok
73. serious - serius
74. terguris - tergores
75. seringkali - sering kali
76. biadap - biadab
77. television - televisyen
78. penguatkuasa - penguat kuasa
79. barang kali - barangkali
80. pasca kemerdekaan – pascakemerdekaan

Selasa, 29 November 2011

BM 2 > Bahagian A (Bina 5 Ayat)

BM UPSR Kertas 2 - Bahagian A ( 5 Ayat )


Membina 5 ayat berdasarkan gambar.

1. Ahmad tekun membaca buku sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR.

2. Semasa peperiksaan, Ahmad dapat menjawab setiap soalan di dalam kertas peperiksaan dengan penuh keyakinan.

3. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, Ahmad mendapat keputusan yang cemerlang.

4. Ahmad berasa gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana usaha yang bersungguh-sungguh menghasilkan kejayaan.

5. Ahmad mendapat hadiah sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran pada Hari Penyampaian Hadiah.

Isnin, 28 November 2011

BM 1 > Kata Bilangan

1. MAKSUD :
Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan jumlah.

2. JENIS KATA BILANGAN :

i. Kata bilangan tentu : Kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tepat
Contoh: satu, dua, seratus, sejuta, tiga puluh tiga dan sebagainya.

ii. Kata bilangan tak tentu : Menunjukkan bilangan yang tidak pasti
Contoh: semua, banyak, ramai, pelbagai, berbagai-bagai, sekumpulan, sekawan dan lain-lain.

iii. Kata bilangan pisahan: Kata bilangan yang menunjukkan sifat dipisahkan
Contoh: berdua-dua, ketiga-tiga, masing-masing, tiap-tiap

iv. Kata bilangan tingkat : Menunjukkan maksud tempat
Contoh: pertama, kedua, ketiga, keempat dan sebagainya.

v. Kata bilangan pecahan :
Contoh: suku, separuh, tiga suku, dua per tiga dan sebagainya.

3. KONSEP KATA BILANGAN :

i. Kata bilangan jamak: Menunjukkan maksud lebih daripada satu
Contoh: semua, beberapa, kebanyakan, pelbagai, berhari-hari dan sebagainya.

ii. Kata bilangan tunggal : Menunjukkan maksud bilangan tunggal atau satu
Contoh: satu, se

4. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA BILANGAN :

a. Ada kata bilangan yang tidak boleh digandakan. (salah jika digandakan)
Salah:
-pelbagai-pelbagai hadiah diberi.
-para-para pelajar yang hadir,
Betul:
-pelbagai hadiah diberi.
-berbagai-bagai hadiah diberi.
-para pelajar yang hadir

b. Ada kata bilangan yang tidak boleh disingkatkan/ ditunggalkan.
Salah:
-Dia ke sekolah pada tiap pagi.
-Berbagai cabaran telah ditempuh.
Betul:
-Dia ke sekolah pada tiap-tiap pagi.
-Dia ke sekolah pada setiap pagi.
-Berbagai-bagai cabaran telah ditempuh.
-Pelbagai cabaran telah ditempuh.

c. Kata bilangan berimbuhan ‘ber….’ Mesti digandakan.
Salah:
-Lori itu membawa berguni beras ke kilang.
-Sudah bertahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan air sejuk.
Betul:
-Lori itu membawa berguni-guni beras ke kilang.
-Sudah bertahun-tahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan-cawan air sejuk.

d. Jika kata bilangan sudah jamak, kata nama yang mengikutinya tidak boleh digandakan.
Salah:
-Banyak buku-buku yang disediakan di perpustakaan.
-Sekawan burung-burung hinggap di atas pokok.
-Beberapa ekor ikan-ikan berjaya dipancing.
Betul:
-Banyak buku yang disediakan di perpustakaan.
-Sekawan burung hinggap di atas pokok.
-Beberapa ekor ikan berjaya dipancing.

e. Jika kata bilangan berakhiran dengan ‘…….an’, kata nama juga tidak boleh digandakan.
Salah:
-Barisan pelakon-pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-Sinaran bintang-bintang kelihatan di dada langit.
-Puluhan peserta-peserta mengambil bahagian pada malam ini.
Betul:
-Barisan pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-Sinaran bintang kelihatan di dada langit.
-Puluhan peserta mengambil bahagian pada malam ini.

f. ‘Kata bilangan jamak’, tidak boleh disertai dengan ‘penjodoh bilangan’.
(kecuali : beberapa dan kata bilangan tentu seperti tiga, empat, lima dan sebagainya)
Salah:
-Semua ekor ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-Kebanyakan orang pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.
Betul:
-Semua ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-Kebanyakan pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.

g. Jika kata bilangan jamak digunakan, kata adjektif bagi kata nama tidak boleh digandakan.
Salah:
-Banyak ikan yang besar-besar di kawasan hulu sungai itu.
-Semua pegawai di situ garang-garang dan sukar untuk ditemui.
Betul:
-Banyak ikan yang besar di kawasan hulu sungai itu.
-Semua pegawai di situ garang dan sukar untuk ditemui.

h. Kata bilangan jamak boleh digunakan untuk kata nama yang memang berganda.
Salah:
-Di kawasan sungai itu banyak kura.
-Ramai mata bertugas di tempat ini.
Betul:
-Di kawasan sungai itu banyak kura-kura.
-Ramai mata-mata bertugas di tempat ini.

i. Kata bilangan berimbuhan ‘ke….’ yang menunjukkan jumlah mestilah digandakan.
Salah:
-Polis berjaya membarkas kelima perompak itu.
-Kedua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.
Betul:
-Polis berjaya membarkas kelima-lima perompak itu.
-Kedua-dua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.

j. ‘Kata bilangan tentu’ (satu, dua, dan sebagainya) tidak boleh rapat dengan ‘kata bilangan pecahan’. (letak objek di antara kata bilangan ini)
Salah:
-Kami mengambil masa dua setengah hari untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh tiga suku jam untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan satu suku sudu garam ke dalam masakan itu.
Betul:
-Kami mengambil masa dua hari setengah untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh tiga jam suku untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan satu sudu suku garam ke dalam masakan itu.

Ahad, 27 November 2011

BM 2 > Cara Menjawab Bahagian C(Puisi)

Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

Isi Cadangan:

- Membelai penuh manja (Kasih sayang)
- Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
- Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
- Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
- Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
- Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)


Jawapan Contoh 2:

Berdasarkan puisi di atas, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh amalkan. Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Sememangnya ibu bapa kita ialah orang yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kesimpulannya, untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati mereka.

Jumaat, 25 November 2011

BM 2 > Cara Menjawab Bahagian C(Petikan)

Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.

Isi-isi cadangan:

- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan
kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga
untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat
restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu
kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.


Jawapan Contoh 1:

Berdasarkan petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita.

Khamis, 24 November 2011

BM 1 > Ayat Pasif


Definisi
Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek asal (iaitu objek dalam ayat aktif) sebagai perkara atau unsur yang diterangkan, manakala subjek asalnya tidak diutamakan. Contohnya:
i. Naib Yang Dipertua PIBG menyampaikan anugerah itu. (Ayat Aktif)
(subjek)+ (kata kerja transitif) +(objek)
ii.Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG. (Ayat Pasif)
(subjek)+ (kata kerja pasif) +(pelaku)

Jenis ayat pasif
1. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’di’ dan ’ter’
Contohnya:
a). Hadiah pertandingan itu sudah dituntut oleh pemenangnya semalam.
b). Peralatan sistem suara itu tidak terangkat oleh mereka.

2. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’ber’ dan ’ke...-an’.
a). Dalam perjalanan pulang mereka kehujanan.
b). Ketika mereka tiba juadah itu sudah bertutup.
c). E-mel yang saya kirim belum berjawab lagi.

3. Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Orang Pertama dan Kedua
Contoh
a). Laporan peristiwa itu sudah saya siapkan semalam.
b). Tugasan itu harus awak laksanakan dengan segera.
c). Masalah itu wajar kita hadapi bersama-sama.
Kesimpulannya, kita hendaklah dapat membezakan struktur ayat pasif dengan ayat aktif supaya kita dapat membina ayat yang gramatis dan tidak dianggap sebgai pengguna bahasa yag pasif.

Rabu, 23 November 2011

BM 2 > Tafsiran Nilai Murni

BAIK HATI
- Belas kasihan (Bersimpati terhadap kesesusahan orang lain)
- Bertimbang rasa (Mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain apabila
membuat sesuatu tindakan)
- Murah hati (Memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang
memerlukannya)
- Saling memahami (Sanggup memberi dan menerima pandangan serta
memahami perasaan dan keperluan masing-masing)
- Saling bermaafan (Sanggup meminta maaf dan memberi kemaafan)

BERDIKARI
- Berupaya bertindak sendiri (Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa
mengharapkan orang lain)
- Yakin pada diri sendiri (Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup
mencuba)

HEMAH TINGGI
- Kesopanan (Berbudi bahasa dan beradab dalam pergaulan)
- Mengakui kesalahan sendiri (Sedia mengaku kesilapan diri sendiri serta
sanggup menerima nasihat)
- Ramah mesra (Sedia bergaul mesra dengan semua orang)

HORMAT-MENGHORMATI
- Ibu bapa (Memuliakan dan mentaati ibu bapa)
- Ahli keluarga, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
(menunjukkan rasa hormat kepada kumpulan tersebut dengan memberi
layanan yang baik)
- Institusi kerajaan dan Negara (Menerima dan hormat kepada kerajaan
serta lambang-lambang kebesaran negeri)
- Kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan (Menghormati
kepercayaan dan adat resam semua keturunan di Malaysia)
- Patuh kepada undang-undang negara (Mematuhi undang-undang yang telah
ditentukan tanpa mengira di mana seseorang itu berada)
- Patuh kepada ketepatan masa (Menepati waktu dan menggunakan masa
dengan berfaedah)

KASIH SAYANG
- Sayang diri sendiri dan orang lain (Menyayangi diri sendiri dan orang lain)
- Sayang akan alam sekitar (Memelihara dan memulihara kehidupan flora dan
fauna untuk kesejahteraan hidup)

KEADILAN
- Adil (Membuat pertimbangan secara objektif, menyeluruh dan bersesuaian)
- Saksama (Tidak berat sebelah dalam sesuatu tindakan dan keputusan sama
ada dalam memberikan ganjaran atau hukuman)

KEBEBASAN
- Boleh melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar batas peraturan dan
undang-undang yang tersurat dan tersirat dalam keluarga, sekolah, komuniti,
masyarakat, negara dan agama

KEBERANIAN
- Berani mencuba (Berani melakukan sesuartu perkara yang baru dan
mencabar untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain dengan mengambil risiko
yang akan dihadapi)
- Berani kerana benar (Berani mempertahankan sesuatu yang diakui
sebenarannya dengan menunjukkan bukti yang nyata)

KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL
- Kebersihan diri (Kebersihan anggota yang perlu dijaga oleh setiap individu
untuk hidup sihat)
- Kebersihan persekitaran (Pemeliharaan alam sekeliling supaya rapi dan
bebas daripada kekotoran dan pencemaran)
- Kebersihan mental (Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu
diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain)

KEJUJURAN
- Amanah (Bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan
dan dapat menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain)
- Bercakap benar (Menyatakan perkara yang benar tanpa menokok tambah
atau berselindung)
- Ikhlas (Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan)

KERAJINAN
- Daya usaha (Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan
inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.)
- Dedikasi (Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga untuk perkara
yang berfaedah)

KERJASAMA
- Gotong-royong (Melakukan sesuatu tugas secara beramai-ramai dan
sukarela)
- Toleransi (Bertolak ansur serta dapat mengawal diri untuk mengelakkan
berlakunya perselisihan)
- Perpaduan (Bersefahaman dan bekerjasama di peringkat keluarga,
masyarakat, negara dan antarabangsa)

KESEDERHANAAN
- Pertuturan dan perlakuan yang sederhana (Bertutur dan berkelakuan yang
tidak melampaui batas serta menyinggung perasaan atau menimbulkan
kemarahan orang lain)
- Kesederhanaan dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan
orang lain (Membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya Memuaskan diri
sendiri dan orang lain)

KESYUKURAN
- Berterima kasih (Melahirkan perasaan untuk menunjukkan pengiktirafan dan
penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian)

PATRIOTISME
- Semangat cintakan negara (Mempunyai semangat yang tinggi untuk menjaga
keselamatan, nama baik negara)

RASIONAL
- Membuat pertimbangan (Berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu
perkara sebelum membuat keputusan)

SEMANGAT BERMASYARAKAT
- Bermuafakat (Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu
pekerjaan bagi kepentingan bersama)
- Kejiranan (Berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong, dan bekerjasama
dengan jiran tetangga)
- Peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat (Menyedari masalah
masyarakat dan sedia berusaha menyelesaikannya)

Selasa, 22 November 2011

BM 1 > Kata Tanya

1. MAKSUD:Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk bertanyakan sesuatu.

2. JENIS KATA TANYA:

Jenis dan Fungsi kata tanya
Apa - Untuk binatang, benda, perkara, tidak pasti (lembaga / hantu dll)

Siapa - Untuk manusia
Mana - Untuk tempat, kedudukan
Bila - Untuk masa, zaman, waktu
Berapa - Untuk jumlah, harga
Mengapa - Untuk sebab (lebih tepat berbanding ‘kenapa’)
Kenapa - Untuk sebab
Bagaimana - Untuk cara, keadaan, langkah Macamana - Untuk cara, keadaan, langkah, punca

3. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA TANYA:

a. Ayat tanya boleh terhasil walaupun tanpa menggunakan ‘kata tanya’ tetapi mestilah ada tanda tanya ( ? ).
Betul:-Suasana pada hari ini sungguh ceria dan tenang sahaja?-Nama bapa saudara awak ialah Haji Kamaruddin bin Ishak?
b. Penegas ‘kah’ tidak boleh diletakkan di bahagian akhir ayat tanya.
(letak di hadapan atau tengah)
Salah:-Semalam awak tidak hadir, mengapakah?
-Awak akan melancong ke sana, bilakah?
Betul:-Semalam awak tidak hadir, mengapa?-Mengapakah awak tidak hadir semalam?
-Awak akan melancong ke sana, bila?-Bilakah awak akan melancong ke sana?

c. Kata tanya tidak boleh digunakan jika ayat itu bukan ayat anya.
(tukar dengan menyebut ‘fungsinya’)

Salah:-Saya terkejut bila melihat lelaki itu menumbuk muka awak.
-Pelanggan itu ingin mengetahui berapa harga ikan tersebut.
-Kami ingin mengetahui di mana anda tinggal sekarang.
-Kami tidak tahu bagaimana anda boleh terjatuh ke dalam longkang itu.
Betul:-Saya terkejut apabila melihat lelaki itu menumbuk muka awak.
-Pelanggan itu ingin mengetahui harga ikan tersebut.
-Kami ingin mengetahui tempat anda tinggal sekarang.
-Kami tidak tahu punca anda boleh terjatuh ke dalam longkang itu.

d. ‘apa’ tidak boleh digunakan untuk manusia. ‘siapa’ tidak boleh digunakan untuk binatang.
Salah:-Apakah nama anak lelaki Encik Kamil yang baru menjadi doktor itu?
-Siapakah nama kucing awak yang comel sungguh itu?
Betul:-Siapakah nama anak lelaki Encik Kamil yang baru menjadi doktor itu?
-Apakah nama kucing awak yang comel sungguh itu?

e. Kata tanya boleh digunakan dalam ayat yang bukan ayat tanya dengan syarat telah digandakan.
Salah:-Awak boleh bertanya apa soalan kepada saya sebelum saya balik.
-Awak juga boleh berjumpa dengan saya pada bila masa pun.
-Mana pelajar yang masih berdegil akan menerima hukuman.
Betul:-Awak boleh bertanya apa-apa soalan kepada saya sebelum saya balik.
-Awak juga boleh berjumpa dengan saya pada bila-bila masa pun.
-Mana-mana pelajar yang masih berdegil akan menerima hukuman.

f. ‘Mengapakah’ dan ‘bagaimanakah’ lebih tepat penggunaannya daripada ‘kenapakah’ dan ‘macamanakah’.
Betul:-Mengapakah awak tidak hadir?
(ini lebih tepat)
-Bagaimanakah awak sampai ke sini?
(ini lebih tepat)
-Mengapa/ Kenapakah/ kenapa awak tidak hadir?
(ikut susunan mana yang lebih tepat)
-Bagaimana/ Macamanakah/ macamana awak sampai ke sini?
(ikut susunan mana yang lebih tepat)

g. Jika kata tanya diletak di hadapan ayat, partikal kah mesti diletak.
Salah:-Mengapa awak tidur di lantai?
-Bila awak tiba di sini?
Betul:-Mengapakah awak tidur di lantai?
-Bilakah awak tiba di sini?
SEMOGA BERJAYA!

Isnin, 21 November 2011

BM 2 > Contoh Karangan Cerita

 Keputusan UPSR Sudah Keluar
        Pada hari Sabtu yang lepas, aku dan rakan-rakanku pergi bersama-sama ke sekolah dengan menunggang basikal. Tujuan kami ke sekolah adalah untuk mengetahui keputusan UPSR yang akan diumumkan pada hari itu.

         Sebaik sahaja sampai ke sekolah, aku dan rakan-rakanku terus meletakkan basikal di tempat letak basikal. Aku berasa tidak sabar lagi untuk mengetahui keputusan UPSR aku. Aku dan rakan-rakanku terus masuk ke dalam dewan sekolah. Ramai rakanku yang telah hadir. Tidak lama kemudian, guru besar sekolah kami telah mengumumkan nama-nama pelajar dan keputusannya.

         Aku berasa sungguh gementar. Aku juga dapat melihat pelbagai memek muka seperti gementar, gembira, sedih dan lain-lain lagi. Sebaik sahaja namaku dipanggil, aku berasa sungguh gembira kerana aku mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 5A. Guru besar dan guru-guru lain turut mengucap tahniah kepadaku atas kejayaanku itu. Rakan-rakanku juga turut mengucap tahniah kepadaku. Aku berasa sungguh gembira. Aku mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajarku dengan penuh dedikasi serta tidak pernah mengenal erti penat dan putus asa. Jasa dan bakti guru-guru akan diingati sehingga akhir hayatku.

         Aku pulang bersama-sama rakan-rakanku. Sebaik sahaja sampai di rumah, aku memberitahu ibu bapaku yang aku telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Ibu bapaku juga turut mengucapkan tahniah kepada aku. Aku juga megucapkan terima kasih kepada ibu bapaku atas dorongan yang telah mereka berikan kepadaku selama ini. Aku tersenyum gembira. Itulah kenangan manis yang tidak dapat aku lupakan dalam hidupku.

Ahad, 20 November 2011

BM 1 > Kata Pemeri ( ialah vs adalah)


Kata pemeri ialah dan adalah merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah seperti berikut :

1). Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Contoh:

Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
Anak ialah anugerah Allah. (Betul)

Pak Mat adalah orang yang pertama menerpka kawasan itu. (Salah)
Pak Mat ialah orang yang pertama meneroka kawasan itu. (Betul)

Matlamat AMAN adalah pembinaan masyarakat sejahtera. (Salah)
Matlamat AMAN ialah pembinaan masyarakat sejahtera. (Betul

2) Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Contoh:

Majalah ini ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
Majalah ini adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)

Persembahan itu ialah baik. (Salah)
Persembahan itu adalah baik. (Betul)

3) Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.

Contoh:
Matlamat utama syarikat ini adalah membantu para golongan muda. (Salah )
Usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah. (Salah )

Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda. (Betul)
Usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:

Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul )

Adalah dimaklumkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul)


5) Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja

Contoh:
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan... (Salah)
Keputusan ini diambil berdasarkan... (Betul)

Para pelajar adalah dipelawa memohon... (Salah)
Para pelajar dipelawa memohon... (Betul)

Kesimpulannya, Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada ialah atau adalah.